Bismillah wa BibarkatinNabi,
Kata Tariqat
berasal dari Bahasa Arab: (طرق), menurut makna bahasa Arab maksudnya:
'jalan' atau 'method', atau 'cara'. Menurut istilah tasauf dalam Islam
maksudnya: "suatu jalan/kurikulum kerohanian yang khusus bagi
orang-orang yang berjalan menuju Allah mengharungi berbagai rintangan
untuk mencapai peningkatan rohani melalui pimpinan mursyid".
Melalui praktik rohaniah dan bimbingan seorang pemimpin tariqat, calon penghayat tariqat akan berupaya untuk mencapai hakikat.
Tariqat yang ertinya ‘jalan’. Jalan yang dimaksud di sini adalah jalan
untuk menjadi orang bertaqwa, menjadi orang yang diredhai Allah s.w.t.
Secara praktiknya, tariqat adalah himpunan amalan-amalan taqwa (zahir
dan batin) yang bertujuan untuk membawa seseorang untuk menjadi orang
bertaqwa.
Tariqat adalah umpama sebuah madrasah yang mana subjek
pengajian utama didalamnya ialah ilmu tasawuf, matlamatnya ialah untuk
mencapai maqam ihsan. Ihsan adalah rukun agama yang ketiga yang wajib
direalisasikan oleh setiap mukmin untuk menyempurnakan kehidupan
agamanya.
Tariqat ialah seumpama organisasi yang menggabungkan
Iman(Tauhid) dan Islam(syariat) dalam bentuk Ihsan. Hasilnya melahirkan
graduan rohani atau mereka yang mempunyai hati yang selamat sejahtera
dibawa pulang ke akhirat
Walaupun pada zaman Rasulullah (saw)
nama tariqat belum lagi masyhur namun asal usul perjalanan tariqat ini
adalah diambil dari kehidupan Rasulullah SAW bersama para sahabat
terutama golongan ahli Suffah yang telah menjalani kehidupan yang zuhud
dan mursyid atau pembimbing mereka ialah Rasulullah saw. Mereka sentiasa
berada didalam Masjid Nabawi untuk mendapatkan bimbingan rohani dari
Rasulullah SAW.
Seperti mana perkataan tauhid, fiqh, nahu,saraf,
mustalah hadis, dan lain-lain belum wujud pada zaman Rasulullah SAW ,
yang mana ia hanya muncul selari dengan perkembangan Islam apabila
ilmu-ilmu tersebut mula dibentuk dan disusun secara sistematik oleh
ulamak Islam yang hidup antara 100-200 tahun setelah kewafatan
Rasulullah SAW.
Begitulah hal keadaannya dengan ilmu tariqat dan
ilmu tasawuf, apabila ulama melihat perkembangan agama Islam yang
semakin meluas dan semakin ramai umat Islam sudah mula mengabaikan aspek
kerohanian dan kebatinan yang merupakan intipati agama ini, maka ulama
seperti Imam Junaid al-Baghdadi telah mengambil intipati ajaran tasawuf
dan tariqat dari al-Quran dan Hadis kemudian disesuaikan proses tarbiah
dan tazkiyatun nufus(penyucian jiwa)dengan keadaan zaman, keadaan, murid
dan situasi.
Penyusunan ilmu tariqat dikemaskini dengan lebih
teratur oleh Syaikh Abdul Qadir al-Jailani(wafat pada 561H) yang
mempunyai ribuan murid.
Metodologi tariqat yang digunakan oleh
para mursyid (pembimbing tariqat) adalah berbeza namun hampir kesemuanya
lebih tertumpu kepada menghubungkan hati kepada Allah setiap masa dan
keadaan. Konsep yang dipakai juga berbeza-beza ,ada yang selesa dengan
konsep mujahadah, ada yang lebih kepada konsep cinta, ada juga konsep
syukur dan sabar, konsep puasa, dan lain-lain.
Tariqat yang
asalnya untuk melahirkan mukmin sejati akhirnya telah menghasilkan
mujahid-mujahid agama yang bertebaran keseluruh dunia untuk menyebarkan
Islam dengan hikmah dan kasih sayang.
Sejarah membuktikan bahawa
jasa dan pengorbanan ahli tariqat dan tasawuf telah memainkan peranan
penting dalam memberi pengaruh kepada dunia Islam dengan membawa amalan
Islam dan intipati ajarannya ke seluruh pelosok alam termasuklah alam
Nusantara ini.
Seperti mana dalam ilmu tauhid dan fiqah, ada saja
golongan yang tersesat didalamnya kerana godaan nafsu, begitu juga
nasib yang dialami oleh sesetengah ahli tariqat. Namun amat silap jika
seseorang memandang sinis dan langsung meninggalkan ilmu tauhid, fiqah
dan tasawuf/tariqat hanya kerana segelintir mereka ada yang tergelincir.
Hakikatnya masih banyak aliran tariqat yang masih berada diatas
landasan yang benar dan sahih sehingga kini dalam membawa manusia kepada
merealisasikan tujuan kita dicipta Allah Taala di alam dunia ini.
Antara Aliran-Aliran Tariqat dalam Islam
1. Tarekat Qadariyah
2. Tarekat Syadziliyah
3. Tarekat Naqsabandiyah
4. Tarekat Yasafiyah dan Khawajagawiyah
5. Tarekat Khalwatiyah
6. Tarekat Syatariyah
7. Tarekat Rifa’iyah
8. Tarekat Qadiriyah
9. Tarekat Sammaniyah
10. Tarekat Tijaniyah
11. Tarekat Chistiyah
12. Tarekat Mawlawyah
13. Tarekat Ni’matuliyah
14. Tarekat Sanusiyah
15. Tarekat Alawiyyah / Haddadiyah
16. Dan lain-lain
Mengenai pengharaman Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani di
Malaysia mungkin bermaksud ianya tidak sesuai untuk diamalkan di
Malaysia atau mungkin sudah tiba masanya untuk pihak berwajib menilai
semula sebab musabab tarekat ini diharamkan supaya kebenarannya
terzahir.
Meskipun begitu, pengharamannya disini tidak bermakna
ia tertolak kerana di negara luar, Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah
Haqqani ini tetap disambut dan diterima oleh ulama dunia Islam antaranya
Syaikh Dr. Ali Jumuah (Mantan Mufti Mesir), Syaikh Muhammad Yahya
al-Kattani (Ulama al-Azhar), Syaikh Muhammad Ghanim(ulama al-Azhar),
Syaikh Ahmad (ulama al-Azhar), Syaikh Usamah (Naib Mufti Mesir),
al-Habib Ali al-Jufri (Abu Zabi), al-Habib Umar bin Hafiz (Yaman),
Syaikh Muhammad al-Ya'qubi (ulama England), Syaikhul Islam Dr. Tahir
al-Qadri (ulama India), Syaikh Ahmad Kuftaru (Mufti Besar Syria), Syaikh
Faisal Hamid, Syaikh Yasir al-Kudmani (ulama Syria) Baba Aziz (ulama
Patani), Syeikh Nuruddin al-Banjari, Syeikh Rahimuddin (Ulama Indonesia)
dan lain-lain.
Usaha yang dibuat oleh Pejabat Agama Islam Negeri
Sembilan menubuhkan Bahagian Pendaftaran Tarekat adalah seharusnya
dipuji dan dipandang baik.
Negeri Sembilan yang mengamalkan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama'ah mempunyai Jilsah Al Turuq al-Sufiyyah.
Apakah Jilsah Al Turuq Al Sufiyyah ? - iaitu Jawatankuasa yang terdiri
daripada pengamal tareqat yang pakar mengikut landasan al Quran, As
Sunnah, Ijmak dan Qiyas berperanan untuk menyelia, mengenalpasti
tareqat-tareqat yang diamalkan benar mengikut manhaj Ahlus Sunnah Wal
Jama'ah dan didaftarkan.
Antaranya terdiri dari Mufti Negeri Sembilan, termasuk Dr Abdul Manam, Dr Jahit Sidek, Dr Sulaiman bin Ibrahim.
Jadi tidak timbul kekeliruan akibat orang yang tidak ahli tiba-tiba
bercakap mengenai tareqat dan kemudian menyesatkan pula tareqat dan ahli
tasawwuf.
Info :
1. Jilsah Al Turuq al Sufiyyah : http://www.muftins.gov.my/…/159-info-bahagian-tarekat-tasaw…
2. Senarai anggota : http://www.muftins.gov.my/…/611-senarai-anggota-jilsah-al-t…
3. Enakmen Tarekat Tasawwuf : http://muftins.gov.my/…/159-info-bah…/607-pengenalan-enakmen
4. Pelan Strategik : http://muftins.gov.my/…/610-pelan-strategik-jabatan-mufti-k…
5. TAREQAT TASAWWUF YANG BERDAFTAR DAN DILULUSKAN :
http://muftins.gov.my/…/tare…/161-tarekat-tassawuf-berdaftar
6. Arkib Tarekat Tasawwuf : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf
Mengandungi senarai tokoh tarekat tasawwuf, himpunan doa dan zikir, kertas kerja dan sebagainya.
Semoga negeri-negeri lain di Malaysia mempunyai badan yang berfungsi seperti ini juga. Serahkan urusan pada ahlinya !
Allah wa Rasul 'alam..
No comments:
Post a Comment